4 January 2007

Pinjaman Untuk Kursus Tidak Kritikal

Sila rujuk artikel dari Berita Harian, 4 Januari 2007 dibawah. Satu peluang yang perlu diambil oleh semua. Maklumkan kepada saudara-mara dan sahabat handai.

JPA biaya yuran kursus tak kritikal
Oleh Kadir Dikoh


PUTRAJAYA: Kerajaan kini membuka peluang kepada pelajar persendirian di institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara yang mengikuti kursus bukan kritikal, iaitu sains sosial dan sastera ikhtisas untuk memohon skim pinjaman yuran pengajian.

Kursus itu ialah sebagai tambahan kepada pengajian dalam bidang kritikal sedia yang layak memohon skim terbabit iaitu perubatan, pergigian, farmasi dan veterinar.

Bidang keutamaan lain ialah sains dan teknologi (tidak termasuk komputer dan teknologi maklumat), kejuruteraan (tidak termasuk elektrikal dan elektronik, mekanikal dan awam), seni bina serta perakaunan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Hasniah Rashid, berkata skim pinjaman itu berdasarkan konsep 'perkongsian kos' dengan JPA membiayai yuran pengajian saja, tertakluk kepada jumlah maksimum RM200,000 seorang.

“Malah, JPA kini cuma membuat tawaran permohonan itu dua kali setahun berbanding empat kali sebelum ini. Mulai tahun ini juga permohonan pinjaman boleh dibuat secara 'online',” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tarikh tutup permohonan secara 'online' ialah 28 Februari ini bagi pelajar di Australia, New Zealand dan negara yang memulakan pengajian pada Januari, Februari dan Mac depan.

Sementara itu, tarikh tutup untuk pelajar Malaysia di United Kingdom, Ireland, Indonesia, India, Amerika Syarikat dan negara lain yang mula pengajian pada Julai, Ogos dan September ialah 31 Ogos depan.

Bagaimanapun, salinan slip pengesahan permohonan online dan dokumen sokongan perlu dikemukakan kepada JPA pada atau sebelum 10 Mac (bagi tarikh tutup pada 28 Febuari) dan 10 September (bagi tarikh tutup 31 Ogos).

Hasniah berkata, pembiayaan yuran pengajian dihadkan kepada maksimum RM200,000 seorang supaya tidak membebankan pelajar membayar balik selepas tamat pengajian manakala kos lain seperti sara hidup dan kos kerugian pertukaran wang asing adalah di bawah tanggungjawab pelajar sendiri.

Mengenai pinjaman khas perubatan iaitu untuk pelajar yang mengambil bidang perubatan, pergigian dan farmasi di luar negara, beliau berkata, mereka boleh dikecualikan membayar balik pinjaman jika bersetuju mengikat kontrak berkhidmat dengan kerajaan selama 10 tahun selepas menamatkan pengajian.

Bagi pinjaman biasa yang diberi kepada pelajar dalam bidang bukan kritikal, mereka dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman selepas menamatkan pengajian.

“Bayaran balik pinjaman perlu dibuat selepas pelajar menamatkan pengajian atau ditamatkan pengajian kerana sebab kelemahan akademik, sakit dan sebagainya. Bayaran secara ansuran bulanan adalah berdasarkan jumlah pinjaman,” katanya.

Untuk keterangan t lanjut, pelajar boleh menghubungi Penolong Pengarah Unit Latihan Sebelum Perkhidmatan (Luar Negara) di talian 03-88853386, faksimile 03-88892170 atau e-mel: pinjaman.yuran@jpa.gov.my.

No comments: