Pada tanggal 25 Januari 2008, Kelab UMNO ACT dengan kerjasama MASAC telah menganjurkan program sambutan Ma’al Hijrah untuk tahun 1429 hijriyyah. Program ini dianjurkan untuk memperingati peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dan juga sebagai pengisian ruhiyyah kepada komuniti Malaysia di Canberra terutamanya para pelajar. Majlis sambutan telah diadakan di musolla ANU bermula sekitar jam 8 malam.
Seramai hampir 50 orang yang terdiri daripada para pelajar dan juga pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah hadir ke program tersebut. Acara sambutan telah dimulai dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Zuhair, Pegawai Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia, Sydney. Ceramah yang menyentuh tentang sirah dan juga kewajipan seorang muslim pada hari ini itu telah disampaikan selama lebih kurang 30 minit. Sejurus selepas itu para hadirin mendirikan solat maghrib secara berjemaah. Acara diteruskan dengan bacaan yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Zuhair. Sebelum majlis bersurai, para hadirin telah dijemput untuk menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh Kelab UMNO ACT. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Dato’ Salim Hashim dan isteri turut menyediakan hidangan tambahan.
Walaupun program bermula agak lambat disebabkan penceramah lewat tiba, secara keseluruhannya, majlis sambutan itu telah berjalan dengan lancar. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para tetamu yang hadir dan juga ahli jawatankuasa yang telah berusaha untuk menjayakan program ini. Diharapkan program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kehadiran tetamu terutamanya para pelajar dapat ditingkatkan lagi.
No comments:
Post a Comment