DARI: UTUSAN MALAYSIA
Kemewahan punca akhlak rosak
Oleh FAUZI JAAFAR (WARTAWAN UTUSAN)
‘‘JIKA kita ingin tahu corak dan rupa bentuk masa depan, maka lihatlah kepada generasi muda hari ini.’’ Itulah kata-kata Imam al-Ghazali yang menggambarkan betapa pentingnya generasi muda dalam pembangunan dan hala tuju masa depan negara.
Dalam suasana semasa, boleh kita katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali ini adalah merujuk kepada golongan belia. Kalau kita lihat beberapa frasa yang lazim diucapkan seperti ‘belia aset negara, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ telah jelas menunjukkan betapa pentingnya belia di negara ini.
Kerajaan sedar bahawa jika golongan muda ini tidak diperlengkapkan dengan ilmu dan kemahiran, maka sudah tentu negara kehilangan penyambung kecemerlangan masa depan.
Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, golongan itu merupakan individu yang berusia antara 15 hingga 40 tahun.
Jika takrifan ini digunakan untuk menganggarkan jumlah belia yang ada di negara ini, maka angkanya menjangkau 11.1 juta atau 42.5 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Daripada jumlah itu, 5.6 juta adalah belia lelaki dan 5.5 juta lagi adalah belia wanita.
Namun apabila digambarkan dengan keadaan semasa, belia negara ini berhadapan dengan beberapa masalah sosial yang seolah-olah digambarkan tiada jalan penghujungnya.
Masalah seperti mat rempit, penagihan dadah, jangkitan HIV/Aids, pergaulan bebas, seks bebas, adalah di antara beberapa masalah kronik belia masa kini.
Apabila kita melihat pula kepada kes-kes jenayah juvenil atau membabitkan pelajar sekolah bagi tempoh Januari hingga September ini, ia agak membimbangkan walaupun masih terkawal.
Sebagai contoh, daripada 170,481 kes jenayah indeks yang membabitkan kesalahan seperti bunuh, rogol, mencuri, menipu dan sebagainya, hanya 4,414 kes membabitkan juvenil.
Manakala 1,436 kes lagi membabitkan pelajar-pelajar sekolah.
Itu adalah statistik untuk juvenil dan pelajar sekolah, bagaimana pula belia lepasan sekolah? Sudah tentu angkanya jauh lebih tinggi.
Sebab itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas tanpa berselindung melahirkan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini.
‘‘Kita boleh katakan bahawa jika beginilah bentuk belia yang ada pada hari ini, negara kita sebenarnya sedang menuju ke arah kehancuran,’’ katanya.
Kerisauan beliau itu diluahkan dalam ucaptama bertajuk Belia Pemacu Generasi Hadhari di Konvensyen Islam Hadhari Belia Peringkat Kebangsaan baru- baru ini.
Dalam konteks ini, cuba kita lihat teori Ibnu Khaldun, seorang pemikir dan sarjana Islam yang terkemuka.
Ibnu Khaldun berkata, kesenangan dan kemewahan yang diwariskan kepada generasi seterusnya boleh menyebabkan mereka memilih untuk hidup menganggur, bersenang-senang dan bermalas-malas.
Mengikut teori beliau, apabila sesuatu bangsa sudah sampai ke tahap ini, maka mereka akan menghadapi tahap kemunduran. Ini kerana kemewahan merosakkan akhlak.
Ibnu Khaldun turut menyebut bahawa hayat sesebuah dinasti adalah selama 120 tahun atau tiga generasi. Setiap generasi itu sama dengan tempoh 40 tahun iaitu tempoh mencapai kematangan.
Menurut beliau, generasi pertama adalah generasi yang terpaksa melalui pahit maung kehidupan dan seterusnya mencipta kesenangan untuk dinikmati generasi kedua.
Generasi kedua pula yang mewarisi kesenangan akan mula melupai sejarah perjuangan generasi pertama dan hilang daya ketahanan diri dan semangat juang.
Generasi ketiga pula adalah generasi yang menuju kehancuran kerana apabila seseorang dibesarkan dalam kemewahan mereka akan lupa nikmat perjuangan dan kekitaan kerana sudah biasa diperintah.
Jadi mereka akan terlalu bergantung kepada kerajaan sehinggakan lupa untuk melindungi dan mempertahankan diri serta menyatakan apa yang menjadi hak mereka seperti nenek moyang terdahulu.
Adakah negara ini sedang menuju ke arah apa yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun itu? Mungkin sukar untuk dijelaskan buat masa ini.
Tetapi apa yang pasti ialah pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan bermatlamat untuk melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan rohani, akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran semasa.
Yang penting, golongan belia harus didekatkan kembali kepada kefahaman agama mereka yang sebenarnya. Ini kerana nilai-nilai murni keagamaan akan menjadi teras kepada kefahaman kebangsaan yang ingin dibina dan dihayati.
Namun, adakah belia kita masa kini boleh menghayati ajaran agama yang sebenar?
No comments:
Post a Comment